24.11.06

TAK BURU CINTA

Elly Mazlein akur ketentuan takdir biarpun hati gundah lantaran cita-cita tak kesampaianBENAR sebagai manusia, kita hanya mampu merencana sedangkan ketentuan adalah di tangan Tuhan. Sejauh mana diri berusaha, andai tertulis bukan di situ rezeki, ia tidak akan menjadi kenyataan.
Mengalah, berundur diri mungkin jalan terbaik, tetapi jika pada hati masih tersemai cinta yang mendalam, mana mungkin tapak yang sudah disusun itu ditarik semula. Elly Mazlein (gambar) umpamanya, masih setia memburu cita-citanya.Barangkali untuk bertahan di bidang seni atas tiket penyanyi, ia perkara yang terlalu sukar. Pernah merakamkan lima album, termasuk dua album kompilasi, semua itu bukan jaminan untuk Elly bertahan.
Selepas mendapat pelepasan daripada syarikat rakaman, NAR Records, awal tahun ini, karier nyanyiannya agak terumbang-ambing. Tercungap Elly mencari ruang, dilambung badai dugaan, namun dia masih belum mahu tenggelam.Kecewa dengan dunia nyanyian? Pertanyaan yang sengaja diungkit menyedari dirinya kebelakangan ini agak terbiar sedangkan dulu Elly antara artis yang kerap menghiasi dada akhbar.“Elly anggap apa yang berlaku sebagai tiada rezeki,” katanya ringkas, melontar jauh kekecewaan biarpun jauh di sudut hati, cinta terhadap dunia nyanyian belum sekelumit terhakis.
Sambung artis berusia 25 tahun itu, dalam suasana pasaran album yang sukar dijangkakan, dia perlu melangkah keluar. Bangkit daripada kegagalan itu, Elly mencari langkah baru untuk memastikan dirinya tidak tenggelam ditelan masa.Pilihan yang ada adalah lakonan, justeru, Elly beralih minat. Syukur tawaran daripada pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam merubah warna kehidupan anak seni yang mula mencipta nama menerusi album Sutera Kasih itu.“Elly tidak boleh duduk berdiam diri dan menunggu peluang yang tidak mungkin datang. Sayang masa yang terbuang begitu saja. Jadi Elly berlakon untuk mencapai matlamat dalam bidang seni.“Ia juga sebagai memberitahu kepada semua Elly masih lagi aktif, masih setia dengan bidang seni, walaupun sudah beralih arah,” katanya.Dalam diam sudah tiga tahun Elly menyusun langkah sebagai pelakon. Hasilnya tidak terlalu mengecewakan. Tiga filem iaitu Tangkai Jering, Janji Diana dan Gerak Khas The Movie 3, serta drama bersiri, Sembilu Kasih, Gerak Khas dan Bukan Yang Pertama adalah pencapaian awal Elly.“Elly cuba mencari kepuasan sebagai pelakon,” katanya.
Mengakui Bukan Yang Pertama arahan Fauziah Ahmad Daud banyak mengajarnya erti lakonan yang sebenar, Elly berharap drama yang bakal ditayangkan di RTM itu sebagai bukti kesungguhannya sebagai pelakon.“Banyak lagi yang belum diteroka dalam diri ini. Justeru, Elly cuba mencari watak yang dapat menyerlahkan bakat sebenar,” katanya.Tak melatah dek gosipCUPING telinganya sudah lali diterpa gosip yang tidak berkesudahan. Gosip mengatakan dirinya sudah berumahtangga, hidup mewah hasil tajaan dan pelbagai lagi bagaikan mainan yang berlegar.Tetapi, semua itu tidak menjadi kudis kepada Elly. Dia tidak melatah, sebaliknya hanya berdiam diri kerana yakin perkara tidak berasas itu akan berlalu pergi dibawa angin jika dia bertenang.Elly berpegang kepada prinsip, jika berdiam diri perkara tidak benar itu akan pergi ditelan masa dan terbukti, ia tidak lagi hebat diperkatakan.
Satu janjinya: “Elly tidak akan sembunyi jika ditakdirkan berumahtangga nanti.”Menolak tanggapan dirinya gemar berahsia, sebaliknya kata Elly, dia selesa untuk tidak bercerita perkara yang belum pasti. Sebagai anak gadis, adalah tidak manis sekiranya soal hati dibicarakan secara terbuka di dada akhbar.“Bukankah Elly sendiri yang akan menanggung malu jika percintaan yang digembar-gemburkan tidak menjadi kenyataan? Jadi, lebih baik Elly berdiam diri. Apabila semuanya sudah pasti, baru hati Elly terbuka untuk bersuara.“Apa yang penting, keluarga mengetahui perkara yang sebenar kerana Elly tidak pernah berahsia dengan mereka. Itu lebih penting,” katanya.
Sharifah Aida Mazlin Syed HanafiNama Komersial: Elly MazleinTarikh Lahir: 17 Disember 1980Asal: Behrang, PerakKeluarga: Bongsu daripada tiga beradikKerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacaraAlbum: Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), Atas Nama Cinta (2004) dan The Best Of Elly Mazlein (album kompilasi)Drama: Gerak Khas, Janji Kekasih, Sembilu Kasih, Gerhana di Mata Kabus Di Hati dan Raya Raya
Tak buru cinta Oleh Zul Husni Abdul Hamid

0 Comments:

Post a Comment

<< Home