SAYA TIDAK DITAJA VIP
Begitulah Ceritanya: “Saya tidak ditaja VIP” Oleh:Farihad Shalla Mahmud
Elly Mazlein akui sudah lali dihimpit gosip murahan termasuk kononnya sudah bernikah secara senyap
BAGI kalangan teman media, dia dikenali sebagai Puteri Air Mata. Mana tidaknya, pantang saja ditanya soalan sensitif, laju saja air matanya mengalir. Namun, pada pertemuan kami pagi Isnin lalu, tiada sebutir pun manik-manik jernih gugur di pipinya.
Barangkali si pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlin atau Elly Mazlein ini sudah bersedia dengan soalan cepumas yang sudah sering kali hinggap di cuping telinganya sejak bergelar artis. Pagi itu, dia datang ke studio dengan rambut bak mayang mengurai melepasi bahu sambil ditemani ibunda tercinta.
“Saja, sesekali nak tukar imej. Cantik tak?,” soal Elly Mazlein sambil tersenyum nakal. Seperkara yang menarik mengena si jelita ini ialah dia memang ‘makan gambar’. Mintalah apa saja pose yang diingini, dia dengan segala senang hati membuatnya.
Puas berposing, kami pun berbual. Rancak mulutnya bercerita mengenai pembabitannya dalam sebuah drama bersiri, Sembilu Kasih. Ternyata, dia amat teruja dengan drama terbitan Skop Productions itu.
Penulis biarkan dia bercerita mengenai kerjayanya dulu kerana bimbang jika terus disogok soalan panas, mood anak bongsu dari tiga beradik ini akan hilang.
Seakan mengerti apa yang bermain di fikiran penulis, perbualan Elly menjurus ke arah gosip yang sedang hangat diperkatakan peminat ketika ini. Keadaan Elly yang tenggelam timbul dalam industri menimbulkan pertanyaan, apakah dirinya sudah pun mendirikan rumah tangga secara senyap-senyap.
“Elly tidak berkahwin. Buat apa Elly hendak menipu. Apa yang orang kata mengenai Elly adalah fitnah. Elly tahu orang yang menyebarkan cerita yang tidak benar itu memang mempunyai sifat dendam kepada Elly. Dia cuba memaksa Elly untuk menyukainya tetapi Elly menolak menyebabkan dia sakit hati.
“Maka tersebarlah cerita yang tidak betul dan buruk terhadap Elly sehingga menjatuhkan maruah Elly,’’ kata Elly menjelaskan keadaan sebenar.
Sebagai seorang anak yang masih tinggal bersama keluarga, adalah mustahil untuk dia membelakangi keluarganya sendiri terutama dalam hal yang membabitkan nikah kahwin.
“Mana mungkin Elly berkahwin senyap-senyap. Sebagai seorang artis, Elly juga mempunyai impian tersendiri mengenai majlis perkahwinan Elly dan Elly juga ingin berkongsi kegembiraan dengan peminat Elly,” jelas Elly panjang lebar.
Kata Elly, sekiranya sudah tiba jodoh dan masa untuknya mendirikan rumah tangga, perkara itu akan dimaklumkan kepada semua peminatnya. Elly juga melahirkan perasaan terkilannya apabila menjadi mangsa tuduhan ditaja golongan VIP untuk hidup mewah.
“Elly tidak pernah hidup atas wang ringgit orang lain. Tiada siapa yang beli diri Elly. Elly cari wang untuk menyara keluarga selama ini adalah hasil usaha Elly sendiri. Kalau betul Elly ditaja, buat apa Elly susah-susah berlakon, balik pagi buta. Baik Elly goyang kaki di rumah.
“Elly sedih kerana sifat Elly yang tidak banyak bercakap ini, orang senang-senang hendak melemparkan tuduhan buruk,’’ katanya dalam nada kesal.
Tak suka jaja kisah peribadi
SIKAP berahsia mengenai hal peribadi sedari awal dia menjejakkan kaki ke dunia seni menjadikan banyak yang sudah faham dengan falsafah dipegang.
“Biarlah orang mahu kata apa, yang penting bagi Elly kisah peribadi adalah milik Elly seorang. Elly cuma hanya dapat berkongsi dengan keluarga. Lagipun, malulah kalau keluar dalam majalah atau akhbar orang bercakap pasal kisah peribadi. Kerjaya entah ke mana. Elly tidak mahu dituduh sebegitu,” tegasnya.
Sama ada dirinya sudah berpunya atau belum, sukar untuk mendapatkan sebarang jawapan kerana prinsip yang dipegang.
“Setakat kawan-kawan, ramai. Tetapi Elly belum memutuskan untuk serius bercinta. Biarlah pada usia yang masih muda ini, Elly tumpukan sepenuh perhatian kepada kerja, bukan hal-hal peribadi. Masa untuk Elly tidak banyak sebab sekarang sudah masuk usia 25 tahun dan seboleh mungkin Elly cuba untuk tidak mengganggu diri sendiri dengan cerita sampingan yang akan memberi kesan kepada kerjaya seni Elly,”katanya.
Beri tumpuan pada lakonan
ALBUM Atas Nama Cinta adalah album terakhirnya bersama syarikat rakaman NAR Records dan awal tahun lalu, Elly secara rasmi bukan lagi di bawah naungan syarikat rakaman itu.
“Bukan merajuk atau apa namun Elly keluar dari syarikat rakaman itu disebabkan persaingan yang begitu kuat dan pasaran album yang agak tenat ketika ini. Minat Elly untuk menyanyi masih ada, namun atas sebab sedemikian, buat sementara biarlah Elly memberi sepenuh tumpuan kepada bidang lakonan yang mula sebati dalam diri ini,” kata Elly.
Dalam masa sama, Elly mendapat tawaran berlakon drama Bukan Yang Pertama sebanyak 26 episod yang mengambil masa penggambaran empat bulan. Elly memegang watak perempuan lumpuh.
“Elly memang tak sabar untuk menunggu drama ini ditayangkan kepada umum kerana bagi Elly watak ini cukup mencabar kemampuan Elly sebagai pelakon kerana ia membabitkan emosi dan persediaan mental. Bukan Elly nak kata Elly terlalu yakin dengan lakonan sendiri tetapi sebagai pelakon baru, watak Yasmin menjadi titik tolak kepada Elly untuk lebih serius mendalami bidang lakonan,” katanya yang sudah membintangi tiga filem.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home