25.11.06

TAK MUNGKIN ELLY TINGGALKAN CINTA

Ruangan Artis Pilihan Mingguan Wanita - Bil 1201 24-30 November 06
BAGI PEMINAT SETIA SEMBILU KASIH MUSIM BARU INI PASTI PERASAN AKAN KEHADIRAN WATAK BARU GADIS PENGODA LAGI MANJA BERNAMA MASTURA YANG DILAKONKAN PENYANYI DAN PELAKON CANTIK MANIS ELLY MAZLEIN.
Kalau mengikut perkembangan artis ini, sememangnya tumpuannya kini dilihat lebih cenderung ke bidang lakonan. Dari Tangkai Jering, Gerak Khas The Movie, Janji Diana dan juga terbaru Sembilu Kasih.Sememang pemilihan karier dari bidang lakonan ini diakui sendiri oleh Elly. Industri seni yang makin malap Dijadikan alas an oleh penyanyi yang sempat merakamkan empat album dengan NAR Records untuk berundur seketika dari bidang tersebut.
“Fokus sekarang memang berlakon. Elly kena fikir perkara lain untuk sambung rezeki. Industri muzik sekarang tak begitu memberangsangkan, jadi Elly rasa lebih elok kalau Elly tak teruskan nyanyian buat masa sekarang.“Tapi itu bukan bermakna Elly berhenti terus menyanyi cuma Elly tak buat album saja. Elly masih lagi menyanyi bila ada show ataupun majlis tertentu. Ini cinta Elly, tak mungkin Elly tinggalkannya,” ulasnya.
Dalam pada itu kata penyanyi yang dulu popular dengan lagu Tak Usah di tambah Bara yang Tersimpan ini, dia bersyukur kerana peralihannya ke bidang lakonan diterima baik dan dia sendiri mendapat tempat dalam karier barunya.“Memang Elly syukur sangat sebab orang ramai boleh terima Elly dalam bidang lakonan dan dalam bab ini Elly tak boleh lupa jasa Datuk Yusof Haslam. Dialah yang mencungkil bakat yang ada dalam diri Elly dan dia juga yang memberi peluang barlakon padfa Elly.“Sebab itu Elly tak kisah bila ada yang kata Elly ini artis Skop Production. Tapi hakikat sebenar tidaklah begitu. Elly berlakon juga di bawah penerbitan lain seperti Metrowealth dan Global Station. Malah Datuk Sendiri pun tak pernah haling Elly berlakon dalam penerbitan lain,” katanya serius.
Jaga hati keluarga
Tak lengkap kalau tak bertanya soal cinta dan pasangan hidup pada pelakon dan penyanyi muda sepertinya. Bila pertanyaan diajukan, Elly pantas saja memberi jawapannya, tapi bukan untuk berkongsi kisah cintanya.“Bab kisah cinta ini, Elly rasa selagi tiada kata putus lebih baiklah Elly simpan sendiri saja. Buat apa berkongsi pada hal yang kita tak pasti lagi. Ia tak perlu digembar-gemburkan.“Elly kena berhati-hati kalau bercerita perkara ini, tapi jangan bimbang bila tiba masa dan semuanya dah diputuskan Elly akan beritahu. Bukan apa, Elly perlu jaga hati banyak pihak terutama sekali ibu bapa Elly. Sebagai anak, Elly tak mahu mereka terluka atau sedih dengan gossip-gosip yang taj tentu kebenaranya,” katanya lagi.Namun begitu sebagai seorang wanita dia tidak dapat menolak impian untuk mendirikan rumah tangga seperti wanita-wanita lain. Perkhawinan ibarat melengkapkan kehidupan seseorang wanita. Biarpun begitu jelas Elly, dia belum bersedia lagi untuk melangkah ke alam perkahwina. Elly mensasarkan usia 28 tahun untuk dia menamatkan zaman bujang dengan mendirikan rumah tangga.“Sekarang ini Elly baru berusia 25 tahun. Rasa Elly umur 28 itu barulah sesuai dan Elly bersedia. Sekarang ini masih banyak perancangan yang hendak Elly lakukan dan tanggungjawab yand Elly pikul. Elly mahu memberi tumpuan kepanya dulu. Bila semua dah selesai, waktu itu mungkin masanya akan tiba,” luahnya.

ELLY MAZLEIN TIDAK BUAT RUMAH TERBUKA

*Elly Mazlein tidak buat rumah terbuka
HARI Raya Aidilfitri tahun ini merupakan tahun pertama Elly Mazlein tidak mengadakan rumah terbuka di kampungnya di Sungai Behrang, Perak.Kata Elly, pada hari lebaran kali ini, dia berasakan kurang sesuai untuk menganjurkan majlis rumah terbuka memandangkan keadaan neneknya yang kini sedang terlantar sakit di kampung.Bagaimanapun, kata penyanyi dan pelakon ini, itu tidak bermakna dia tidak menerima kunjungan para tetamu termasuk para peminat yang ingin bertemu dengannya sempena Hari Raya Aidilfitri ini.“Ramai kawan-kawan sekolah dan peminat yang berkunjung ke rumah keluarga saya di kampung pada hari raya pertama dan kedua tahun lepas. Pada hari raya ketiga pula saya sudah pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.Menurut Elly, walaupun tidak mengadakan rumah terbuka pada tahun ini tetapi ramai peminat tetap tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengannya.Malah, artis yang semakin jelita ini juga tidak menghadapi masalah untuk menyediakan sendiri juadah-juadah istimewa untuk hidangan para tetamunya.“Biasanya saya lebih suka menghidangkan masakan kampung seperti nasi beriani, nasi impit dan rendang ayam. Paling istimewa ialah rendang tok iaitu salah satu hidangan yang popular di kampung saya.“Lemang, rendang ayam dan kuah kacang daging juga menjadi pilihan saya ketika hari raya. Sewaktu di kampung biasanya kawan-kawan dan peminat yang ramai datang. Sementara di Kuala Lumpur pula saya lebih banyak dikunjungi oleh rakan-rakan artis,” ujarnya.Selepas pulang dari kampung, Elly akan beraya dengan teman-teman artis selain meluangkan masanya bersama keluarga ibunya di Bukit Jalil dan Damansara, Kuala Lumpur.

KAHWIN BELUM TENTU SENANG

“Kahwin belum tentu senang’’ – Elly Mazlein
Oleh: NIEZAM ABDULLAH
Kemunculan ramai penyanyi baru khususnya yang dicungkil daripada program realiti televisyen menyebabkan artis-artis senior terpaksa menerima kenyataan kedudukan mereka semakin terpinggir.Ia ditambahkan lagi apabila album yang dihasilkan kurang mendapat sambutan kerana persaingan tersebut. Bagi yang bernasib baik dan mempunyai bakat tambahan, mereka boleh terjun ke dunia baru iaitu melibatkan diri sebagai pelakon.Bercakap mengenai nasib, penyanyi Elly Mazlein mungkin diantara artis yang bertuah kerana selepas ‘dibebaskan’ oleh syarikat rakaman NAR Records, dia memperoleh peluang berlakon bersama Skop Production.
Pada masa ini penyanyi itu sibuk dengan penggambaran drama Sembilu Kasih serta beberapa program Hari Raya lain.Kata Elly, memang perit mengenangkan nasibnya sebagai penyanyi yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai saingan.Malah pada masa ini penyanyi tidak boleh mengharapkan seratus peratus rezeki dalam bidang itu sebaliknya perlu mencari pekerjaan lain bagi menampung keperluan hidup.Elly mengakui dia amat bersyukur kerana peluang diberikan oleh Skop Production untuknya terlibat dalam drama terbitan syarikat produksi itu bagi membolehkannya menambahkan rezeki.
“Kita tak boleh mengharapkan rezeki menyanyi. Artis sekarang terlalu ramai. Muncul yang baru, orang akan lupa yang lama apatah lagi kalau tiada album.“Nasib Elly mungkin baik kerana ada bakat berlakon selepas Datuk Yusof Haslam memberi peluang terlibat dalam drama terbitannya,’’ katanya.Jelas Elly, setakat ini dia tidak menghadapi masalah kewangan kerana kontraknya sebagai duta produk kecantikan Safi Balqis masih lagi berjalan dan akan tamat hujung tahun ini.Bagaimanapun dia sentiasa mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan supaya kehidupannya tidak terus `gelap’ akibat persaingan sengit dalam dunia hiburan waktu ini.Selain mengharapkan pendapatan dengan mengadakan persembahan pentas dan dinner show, Elly perlu bekerja keras untuk memperkukuhkan dirinya sebagai pelakon.Ditanya kenapa dia tidak mengambil jalan mendirikan rumah tangga kerana setidak-tidaknya ada juga orang yang dapat menyara kehidupannya, Elly bagaimanapun menganggap ia bukanlah jalan yang tepat. Kahwin juga belum tentu menjamin seseorang itu boleh menjadi senang.
Sebaliknya penyanyi bersuara manja itu berkata walaupun telah mendirikan rumah tangga suatu hari nanti, dia perlu mencari wangnya sendiri kerana tidak mahu menjadi isteri yang terlalu mengharapkan suami.“Berkahwin bukannya jalan untuk kita mengelak daripada tidak bekerja sebaliknya pada zaman sekarang seseorang isteri itu perlu bijak mencari wangnya sendiri.“Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, isteri perlu membantu suami dengan berkerja. Tak boleh duduk goyang kaki sahaja di rumah,’’ ujarnya.Elly juga menolak dia sudah mempunyai buah hati sebaliknya mengakui masih lagi solo. Dia juga tidak mahu bercerita mengenai perjalanan cintanya kerana mahu melupakan kisah-kisah lama.“Yang lepas tu biarkanlah lepas. Elly tak mahu mengingatinya lagi,’’ jelasnya.

REZEKI RAMADAN

Rezeki Ramadan
Aksi kecoh Elly, Azza di lokasiKES perang di lokasi yang tercetus antara dua dramatis jelita, Lisdawati dan Rita Rudaini tidak lama dulu, nampaknya berulang kembali. Kali ini membabitkan artis yang tidak kurang hebatnya, Elly Mazlein dan Azza Elite. Punca pergaduhan mereka gara-gara lelaki bernama Fendy dan sudah beristeri.Elly atau sebenarnya, Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi, 26, berkata kejadian berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan apabila Azza datang menyerangnya kerana cemburu dengan perhatian yang diberikan Fendy terhadapnya.
MANJA...Elly akui masih mencari teman yang sesuai.“Teruk juga kami bergaduh, tapi nasib baik tidak sampai tarik rambut.Saya juga tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sudah berlatih lebih awal dengan Azza.“Sebenarnya, kejadian itu antara tuntutan babak dalam drama bersiri Sembilu Kasih musim ketiga. Lelaki sudah beristeri yang dimaksudkan itu ialah Zed Zaidi yang memegang watak Fendy, suami Zetty lakonan Hetty Sarlene,” katanya.Jelas Elly lagi, penggambaran selama empat hari sejak 5 Oktober lalu di pantai peranginan itu membabitkan babak antara Mastura (Elly), Diana (Azza) dan Fendy yang menjalani penggambaran filem Asmaradana.“Kalau peminat hendak lihat babak pergaduhan kami, jangan lupa ikuti perkembangan Sembilu Kasih musim ketiga yang memaparkan pelbagai konflik antara Fendy dan Zetty termasuk Mastura dan Diana,” katanya.
Walaupun berpuasa, Elly yang dikenali sebagai Inspektor Mazlin dalam siri Gerak Khas mengakui kerjaya lakonan berjalan seperti biasa termasuk penggambaran Sembilu Kasih.Katanya, dia bersyukur kerana menerima pelbagai tawaran sepanjang bulan yang mulia ini.“Selepas lima bulan menyepi bagi memberi laluan kepada pembikinan drama Bukan Yang Pertama, saya didatangani pelbagai tawaran. Bagi saya drama 26 episod arahan Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy ini benar-benar menguji kemampuan saya sebagai pelakon.AYU...Elly banyak dihabiskan di lokasi penggambaran.“Saya harap ia berterusan pada tahun akan datang. Bahkan saya amat berterima kasih atas penerimaan peminat serta pengarah yang terus percaya dengan bakat saya,” katanya.Mengenai persediaan raya, seperti tahun sebelumnya Elly masih mengamalkan sikap bersederhana. Sebagai anak, katanya, dia tidak lupa tanggungjawabnya kepada keluarga.“Keperluan emak dan ayah menjadi keutamaan. Selebihnya macam biasa persediaan lain seperti kuih-muih, peruntukan duit raya untuk adik saudara saya serta peminat bawah umur.“Pada saya, biar bersederhana asalkan suasana itu disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.
Tahun ini destinasi raya masih sama di Sungai Behrang, Perak. Bagaimanapun, hari keempat kami sekeluarga akan pulang semula ke Kuala Lumpur.“Tiada kenduri dibuat namun rumah nenek saya sentiasa terbuka untuk peminat yang mahu bertandang,” katanya.Tambahnya lagi, sebelum Syawal menjelang dia begitu mengharapkan dapat meluangkan waktu bersama keluarga untuk membuat kuih raya seperti konfleks dan biskut coklat.“Sudah tiga tahun saya tidak dapat membuatnya kerana sibuk dengan urusan seni. Misalnya tahun ini, aktiviti dipenuhi dengan penggambaran Sembilu Kasih. Harap-harap ada masa lagi untuk membuat biskut kegemaran saya itu,” katanya.Sepanjang Aidilfitri, wajah manja Elly turut menghiasi beberapa program raya, antaranya rakaman Melodi Raya siaran TV3, Usik Usik Chef Wan (TV9) dan Hore Hore Hari Raya (RTM) yang belum ditetapkan tarikh siarannya.
PROFIL
Nama sebenar: Sharifah Aida Mazlin Syed HanafiNama Komersial: Elly MazleinTarikh Lahir: 17 Disember 1980Asal: Behrang, PerakKeluarga: Anak bongsu daripada tiga beradikKerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacaraAlbum: Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), Atas Nama Cinta (2004) dan The Best Of Elly Mazlein (album kompilasi)Drama: Gerak Khas, Janji Kekasih, Sembilu Kasih, Gerhana di Mata Kabus Di Hati dan Raya Raya

ELLY KECEWA 'SUAMI CURANG'

Elly kecewa 'suami curang' Oleh Norhadiani Baharomyanie@metro.com.my

LAKONANNYA sebagai Detektif Mazlien, menerusi drama bersiri Gerak Khas, tidak lama dulu walaupun berjaya mengangkat namanya sebagai pelakon namun watak itu dianggap masih belum mencabar.

Justeru, bertepatan dengan keputusan yang diambil penyanyi cantik, Elly Mazlein, untuk melangkah serius dalam bidang lakonan, drama bersiri 26 episod Bukan Yang Pertama, titik permulaan yang baik menyerlahkan bakatnya.

Membawakan watak Yasmin, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi, 26, bakal meruntun hati peminat dengan penderitaan yang dialaminya.

“Sewaktu pengarah, kak Ogy (Fauziah Ahmad Daud) menawarkan cerita ini, saya mulanya takut untuk terima. Yasmin adalah watak paling mencabar sepanjang pengalaman saya bergelar berlakon.

“Dia (Yasmin) seorang yang berpelajaran, berkedudukan, anak Tan Sri, punya rupa dan mempunyai pekerjaan cukup stabil. Bagaimanapun suatu hari kemalangan berlaku menyebabkan Yasmin lumpuh.

“Dia hilang keyakinan dan paling menyedihkan Yasmin ditinggalkan tunang lalu mengambil keputusan berkahwin dengan lelaki yang menyebabkan kecacatannya.

“Belum sempat merasa bahagia, suaminya bermain kayu tiga dengan pembantu rumah. Bahkan dia mendapat tahu, wanita itu adalah cinta pertama suaminya.

“Sukarnya untuk membawakan watak Yasmin ini sebab dia suka memendam perasaan dan tidak mahu berkongsi penderitaannya. Untuk menterjemahkan perasaan itu saya perlu bermain dengan emosi agar orang nampak penderitaan saya.

“Demi memberi hasil terbaik, lima bulan saya tidak terima sebarang tawaran berlakon kecuali menyanyi semata-mata mahu memberi komitmen padu pada penggambaran drama ini,” katanya.

Memandangkan ini pengalaman pertama membawakan watak berat, Elly mendapatkan tunjuk ajar dari pengarah termasuk pembantu pengarah, D Hasnan serta pelakon yang terbabit.

Sepanjang Ramadan ini, Elly juga sibuk di lokasi penggambaran Sembilu Kasih terbitan Skop Production.

Pembabitan Elly menerusi drama arahan Datuk Yusof Haslam itu ibarat pengubat rindu peminat yang sudah lama merindui aksinya di Gerak Khas.

“Terima tawaran Datuk Ibarat kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Kebetulan sewaktu dia menghubungi saya, penggambaran drama Bukan Yang Pertama hampir selesai.

“Justeru saya anggap semua ini rezeki dan peluang yang harus dimanfaatkan. Dalam Sembilu Kasih saya membawakan watak Mastura, penyanyi muda yang manja, bisa menggoda tetapi sopan.

“Pun begitu, dia dibenci Diana kerana dia dianggap menggugat hubungan Diana dan Fendi.

“Apakah Mastura punya perasaan dan akan menjadi orang ketiga dalam hubungan Fendi dan isterinya, Zetty, kenalah tonton drama ini kerana palbagai konflik akan tercetus,” katanya.

BUKAN YANG PERTAMA

Bukan Yang Pertama - Elly Mazlein jiwai watak wanita lumpuh
Oleh WANDA IDRIS
SEWAKTU Mega mengunjungi lokasi penggambaran drama Bukan Yang Pertama di Pusat Perubatan Salam di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, penolong pengarahnya, Dee Hasnan sedang sibuk memberi arahan shot yang ingin diambil.
Sementara para pelakon terlibat; penyanyi Elly Mazlein, Haryanto dan Ikram Denzley pula mengambil posisi masing-masing untuk adegan di hospital.
Antara babak yang diambil pada petang itu ialah babak Elly Mazlein terlantar di hospital akibat kemalangan jalan raya dan babak dia menerima kunjungan Haryanto dan Ikram. “Bukan mudah Ayin membawakan watak Yasmin. Ini kali pertama Ayin diberikan watak sebegini berat,” kata Elly Mazlein yang diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama arahan Fauziah Datuk Ahmad Daud itu.
Sebagai Yasmin, kata Elly Mazlein yang sebelum ini pernah menjadi heroin dalam filem Tangkai Jering, dia perlu mendapatkan emosi sebagai seorang wanita yang lara akibat kakinya yang lumpuh.
“Ayin buat homework. Ayin belajar watak Yasmin, seorang gadis cantik dan berkerjaya serta manja kerana dia anak tunggal kepada seorang Tan Sri. “Tapi kemudian dia perlu menghadapi kenyataan bahawa kakinya lumpuh akibat kemalangan jalan raya dan suaminya pula berkahwin dengan kekasih lama yang juga orang gajinya sendiri,” jelas Elly Mazlein.
Merasa bertuah mendapat bimbingan Fauziah Ahmad Daud, peluang berlakon di bawah arahan pengarah itu tidak disia-siakan Elly Mazlein khususnya dalam mendalami teknik lakonan. “Ketika mula-mula menerima tawaran berlakon drama ini, Ayin rasa takut malah tak yakin dengan kemampuan diri.
“Tapi Ayin bersyukur kerana di lokasi, Ayin mendapat tunjuk ajar daripada Kak Ogy dan para pelakon senior yang lain,” jelas Elly Mazlein yang mesra memanggil dirinya Ayin. MENGENAI BUKAN YANG PERTAMA DRAMA nukilan Rina Khan ini memaparkan plot tentang kemelut percintaan antara Kamal, Yasmin dan Lia.
Kamal dan Lia merupakan pasangan kekasih sewaktu menuntut di universiti tempatan sebelum kedua-duanya terputus hubungan apabila Lia terpaksa pulang ke kampung halaman di Indonesia setelah bapanya jatuh sakit. Setelah tamat pengajian Kamal pula bekerja sebagai eksekutif pemasaran dan bekerja satu pejabat dengan Yasmin.
Satu hari, Kamal dan Yasmin mengalami kemalangan setelah pulang bercuti bersama rakan sekerja yang lain mengakibatkan Yasmin lumpuh sementara Kamal buta sebelah mata.Kemalangan itu juga mengakibatkan pertunangan Yasmin dan Azrai terputus apabila
Azrai menuduh Yasmin menduakannya. Akibat rasa bersalah, Kamal berkahwin dengan Yasmin. Sementara itu, Lia yang tertekan dengan kehidupan di Indonesia, kembali semula ke Malaysia dan bekerja sebagai orang gaji di rumah keluarga Yasmin. Oleh kerana dia mempunyai pengalaman menjaga ayahnya yang lumpuh, ibu Yasmin, Puan Seri
Azimah meminta Lia bekerja di rumah Yasmin. Lia tidak membantah tanpa mengetahui bahawa suami Yasmin adalah bekas kekasihnya.Bukan Yang Pertama merupakan drama bersiri 26 episod yang dijangka ditayangkan di RTM pada Mei ini.
Lokasinya dilakukan sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam bermula sejak 14 Disember dan tamat pada 2 April lalu.
Menurut Pengurus Produksinya, Redza Fahmy, pemilihan Fauziah Ahmad Daud sebagai sutradara drama itu kerana kemampuannya dalam melatih pelakon khususnya pelakon baru untuk menjiwai watak.
Mengulas mengenai pemilihan pelakon Indonesia untuk membawakan watak Lia, kata Redza, ia bertujuan untuk menjadikan watak tersebut lebih genuine.
DRAMA: BUKAN YANG PERTAMAPENGARAH: FAUZIAH DATUK AHMAD DAUDPENOLONG PENGARAH: AYIE SAAREE & DEE HASNANJURUKAMERA: IRWAN MUNIRSKRIP: RINA KHANPENGURUS PRODUKSI: REDZA FAHMYPENERBIT: ZAITON MOHD. JIWAPENERBIT EKSEKUTIF: HARIF AHMAD SYAHTERBITAN: GLOBAL STATION SDN. BHD.TAYANGAN: 26 Episod pada Mei ini di RTMLOKASI: PUSAT PERUBATAN SALAM, SHAH ALAM, SELANGORPELAKON: ELLY MAZLEIN sebagai YASMIN, HARYANTO (KAMAL), DEASY MIRANTY ROSTIANTY (LIA), WAN HANAFI SU (TAN SRI MULUK), RAHIMAH RAHIM (PUAN SRI AZIMAH), LIZA OTHMAN (MAZNAH), ROSLAN SALLEH (ARIFFIN), IKRAM DENZLEY (HABIB), TANIA ZAINAL (KAMELIA) dan RADHI KHALID (AZRAI).

TANGGA RUMAH SASARAN ELLY

Oleh Rahayu Mohd Sallehayu@hmetro.com.my
SENYUMAN manis dengan wajah bersolek rapi membuatkan sesiapa memandangnya menoleh dua kali.Ditambah dengan bicara lembut dan sopan sesekali disulami gelak tawa, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein yang ditemui untuk sesi temubual di sudut Hotel Sheraton Subang tengah hari itu memang menepati ciri duta produk penjagaan kulit, Safi Balqis.
Berkongsi pengalaman menjaga kecantikan diri, Elly mengakui kulit wajahnya tidak seelok kini kerana pernah mengalami masalah jerawat yang agak teruk.“Dulu, Elly gemar mencampur adukkan jenama produk sedangkan kulit Elly agak sensitif hingga menyebabkan kulit ditumbuhi jerawat. Pada masa sama, Elly terpaksa mengenakan solekan untuk tempoh yang lama dan ada kalanya tujuh hingga lapan jam bersolek tebal untuk penggambaran.“Namun, sejak diperkenalkan dengan produk Safi, ia banyak membantu Elly dari segi penjagaan kulit muka.
Ia mengurangkan minyak pada muka sekali gus membantu menangani masalah jerawat di samping menjadikan warna kulit lebih sekata,” katanya.Apa yang penting baginya, pemakaian sesuatu produk memerlukan disiplin dengan mengenakannya menurut saranan bagi memperlihatkan kesan yang diingini.“Jika tak mencuba, memang tak diketahui kesannya. Selepas mencuba produk ini, Elly dapati ia sesuai dengan kulit Elly.
“Dalam tempoh empat hingga enam minggu, baru nampak perubahannya. Ia mungkin memakan masa bagi sesetengah orang, namun apa yang penting produk berkenaan selamat digunakan,” katanya yang baru tamat penggambaran drama bersiri Bukan Yang Pertama arahan Ogy Ahmad Daud bersama penolong pengarah, D Hasnan.Definisi kecantikan bagi Elly, merangkumi kecantikan luaran yang mampu dilihat menerusi penampilan fizikal dan kecantikan dalaman yang lazimnya lahir daripada hati yang ikhlas dan bersih.Memelihara kecantikan diri, menurutnya, tidak hanya berkisar pada produk kecantikan.
Soal pemakanan dan rawatan wajah turut diberi perhatiannya selain senaman.Kesuntukan masa mungkin tidak mengizinkannya melakukan senaman namun bagi Elly, tangga di rumah turut jadi sasaran.“Rumah Elly dua tingkat justeru tangga di rumah menjadi tempat bersenam. Naik dan turun tangga banyak membantu di samping melakukan senaman bangun duduk apabila bangun tidur waktu pagi,” katanya.
Pembabitan Elly sebagai duta Safi Balqis sudah masuk tahun ketiga malah dia berterima kasih kepada syarikat berkenaan yang memberi kepercayaan apatah lagi peminat gembira dengan wajahnya kini lebih cerah dan berseri.“Elly berjanji untuk sama-sama memartabatkan produk Safi Balqis ini.“Istimewanya Safi kerana rangkaian produknya mengamalkan piawaian halal yang ketat dan tidak mengandungi alkohol atau bahan berasaskan haiwan.“ Ia seiring dengan kehendak syarak sekali gus menjadikan Safi jenama yang selamat, sihat dan suci untuk penjagaan kulit dan wajah,” katanya.

CERITA ITU FITNAH

Elly Mazlein cerita itu fitnah
Oleh NIEZAM ABDULLAH (niezam@utusan.com.my)
Elly Mazlein. DIA ratu air mata. Itu yang boleh saya ungkapkan apabila berbual dengan pelakon dan penyanyi Elly Mazlein baru-baru ini. Saya berkata begitu kerana setiap kali bercerita mengenai kisah peribadi, Elly akan menangis teresak-esak kerana begitu sedih.Kata Elly, dia menyara hidup dan keluarganya selama ini adalah hasil daripada wang yang halal.?Tidak ada datuk mana pun yang sponsor Elly,?? katanya sambil mengesatkan air mata.
Elly berkata begitu ekoran gosip yang menganggap kehidupan dia kini ditanggung oleh orang tertentu.Bagi saya dan teman-teman wartawan lain, apabila melihat Elly menangis, itu adalah perkara biasa. Dia memang mudah menangis apabila jiwanya tersentuh. Kadang-kadang tangisan itu juga membuatkan kita yang berada bersama-samanya juga hendak menangis.Ketika menemu bual Elly baru-baru ini, air matanya tidak henti-henti menitis.
Air mata itu bertambah laju apabila saya bertanya mengenai isu perkahwinan yang dihebohkan sebelum ini dan isu kereta mewah yang kononnya diberi oleh seseorang.?Itu semua fitnah orang jahat terhadap Elly,?? katanya memulakan bicara. Mari kita ikuti penjelasan Elly.- Sumpah saya tidak kahwinTahun lalu nama Elly senyap sahaja. Tetapi timbul desas-desus mengatakan dia hendak berkahwin. Gosip itu bertambah kencang apabila kontrak lakonan Elly dengan Skop Production untuk drama Gerak Khas ditamatkan.Penamatan kontrak itu dikatakan atas permintaan Elly sendiri dengan alasan dia hendak mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun tidak lama selepas itu, Elly tiba-tiba muncul dan beliau sekali lagi menjadi buah mulut orang apabila ada pihak mengatakan perkahwinan yang hendak dibina itu musnah.?
Elly tidak berkahwin. Sumpah... buat apa Elly hendak menipu. Apa yang orang kata mengenai Elly adalah fitnah. Orang yang buat fitnah itu orang jahat.?Elly tahu orang yang menyebarkan cerita yang tidak benar itu memang mempunyai sifat dendam kepada Elly. Dia cuba memaksa Elly untuk menyukainya tetapi Elly menolak menyebabkan dia sakit hati.?Maka tersebarlah cerita yang tidak betul dan buruk terhadap Elly sehingga menjatuhkan maruah Elly,?? katanya.Menurut Elly, sekiranya sudah tiba jodoh dan masa untuknya mendirikan rumah tangga, perkara itu akan dimaklumkan kepada semua peminatnya.- Jawab isu kereta mewahPaling menyedihkan kata Elly, ada orang menyebarkan cerita kononnya dia sudah membeli sebuah kereta mewah baru. Kereta jenis Mercedes itu khabarnya dibelikan oleh seorang berpangkat besar yang ingin mengambilnya sebagai isteri.
Bagaimanapun kata Elly, kereta yang dibelinya bukanlah kereta mewah seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya hanya sebuah kereta Honda City.?Memang Elly ada beli kereta baru tetapi itu kereta Honda City. Elly beli menggunakan duit Elly sendiri untuk diberikan kepada abang Elly.?Elly baru sahaja menyambung kontrak sebagai duta produk kecantikan Safi Balqis selama setahun. Duit itulah yang Elly gunakan untuk membeli kereta Honda City itu selain sebuah kereta Toyota Rav-4 milik Elly yang telah lama Elly beli.?Kalau semua orang tidak percaya, pergilah periksa nama pemilik dua buah kereta Elly itu.?Sekiranya benar ada orang kaya yang sponsor Elly, mestilah kereta itu diletakkan atas namanya. Takkan dia dengan mudah hendak memberikan sesuatu kepada kita begitu sahaja.??- Ke mana menghilang?Menurut Elly, dia menarik diri untuk berlakon drama Gerak Khas adalah untuk memberi tumpuan terhadap albumnya di bawah syarikat rakaman NAR Records.
Bagaimanapun kata Elly, disebabkan persaingan yang begitu kuat dan pasaran album yang agak tenat, dia telah memohon untuk keluar dari syarikat rakaman itu.?Selepas Elly keluar dari NAR, Elly menyepikan diri dengan mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan penyanyi Hazami.?Dalam masa yang sama Elly mendapat tawaran berlakon drama Bukan Yang Pertama sebanyak 26 episod yang mengambil masa penggambaran empat bulan. Elly memegang watak perempuan lumpuh. Drama itu dijadual akan ditayangkan di RTM pada bulan Mei ini.?Disebabkan Elly mempunyai projek itulah Elly diam seketika tetapi Elly sedih kerana kesibukan Elly itu orang menuduh Elly yang bukan-bukan.?E
lly tidak pernah hidup atas wang ringgit orang lain. Tiada siapa yang beli diri Elly. Elly cari wang untuk menyara keluarga selama ini adalah hasil usaha Elly sendiri.?Elly sedih kerana sifat Elly yang tidak banyak bercakap ini, orang senang-senang hendak melemparkan tuduhan buruk,?? katanya.- Menunaikan umrahElly memberitahu, walaupun sejak kebelakangan ini dia tidak mendapat publisiti yang meluas tetapi bukan bermakna aktiviti keseniannya turut berkubur.Ujarnya, dia masih menerima tawaran menyanyi untuk majlis-majlis tertentu anjuran pihak kerajaan dan swasta.?Elly aktif menyanyi untuk majlis-majlis makan malam dan syarikat-syarikat korporat. Elly tidak muncul di dalam akhbar bukan bererti Elly hilang begitu sahaja.?Insya-Allah, Elly akan menunaikan umrah dengan ibu pada bulan Mei ini. Wang yang Elly kerja keras selama inilah Elly gunakan untuk tujuan itu dan bukannya datang daripada sumber yang haram,?? katanya.- Terima tawaran Skop ProductionSelepas menamatkan kontrak dengan Skop Production untuk drama Gerak Khas, Elly telah ditawarkan berlakon semula di bawah syarikat tersebut untuk drama Sembilu Kasih.
Kata Elly, menerusi drama itu dia memegang watak Mastura iaitu seorang penyanyi baru. Penggambaran tersebut dilakukan sejak 12 April lalu.?Dengan kehadiran Mastura menyebabkan Diana (Azza-Ellite) menjadi bimbang hasratnya untuk menggoda Fendi (Zek Zaidi) tidak akan tercapai,?? kata Elly.Menurut Elly, dia berterima kasih kepada Skop Production kerana sudi mengambilnya berlakon drama itu dan sekali gus menepis cakap-cakap orang mengatakan syarikat drama itu tidak mahu mengambilnya berlakon drama terbitan mereka lagi.

24.11.06

SAYA TIDAK DITAJA VIP

Begitulah Ceritanya: “Saya tidak ditaja VIP” Oleh:Farihad Shalla Mahmud
Elly Mazlein akui sudah lali dihimpit gosip murahan termasuk kononnya sudah bernikah secara senyap
BAGI kalangan teman media, dia dikenali sebagai Puteri Air Mata. Mana tidaknya, pantang saja ditanya soalan sensitif, laju saja air matanya mengalir. Namun, pada pertemuan kami pagi Isnin lalu, tiada sebutir pun manik-manik jernih gugur di pipinya.
Barangkali si pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlin atau Elly Mazlein ini sudah bersedia dengan soalan cepumas yang sudah sering kali hinggap di cuping telinganya sejak bergelar artis. Pagi itu, dia datang ke studio dengan rambut bak mayang mengurai melepasi bahu sambil ditemani ibunda tercinta.
“Saja, sesekali nak tukar imej. Cantik tak?,” soal Elly Mazlein sambil tersenyum nakal. Seperkara yang menarik mengena si jelita ini ialah dia memang ‘makan gambar’. Mintalah apa saja pose yang diingini, dia dengan segala senang hati membuatnya.
Puas berposing, kami pun berbual. Rancak mulutnya bercerita mengenai pembabitannya dalam sebuah drama bersiri, Sembilu Kasih. Ternyata, dia amat teruja dengan drama terbitan Skop Productions itu.
Penulis biarkan dia bercerita mengenai kerjayanya dulu kerana bimbang jika terus disogok soalan panas, mood anak bongsu dari tiga beradik ini akan hilang.
Seakan mengerti apa yang bermain di fikiran penulis, perbualan Elly menjurus ke arah gosip yang sedang hangat diperkatakan peminat ketika ini. Keadaan Elly yang tenggelam timbul dalam industri menimbulkan pertanyaan, apakah dirinya sudah pun mendirikan rumah tangga secara senyap-senyap.
“Elly tidak berkahwin. Buat apa Elly hendak menipu. Apa yang orang kata mengenai Elly adalah fitnah. Elly tahu orang yang menyebarkan cerita yang tidak benar itu memang mempunyai sifat dendam kepada Elly. Dia cuba memaksa Elly untuk menyukainya tetapi Elly menolak menyebabkan dia sakit hati.
“Maka tersebarlah cerita yang tidak betul dan buruk terhadap Elly sehingga menjatuhkan maruah Elly,’’ kata Elly menjelaskan keadaan sebenar.
Sebagai seorang anak yang masih tinggal bersama keluarga, adalah mustahil untuk dia membelakangi keluarganya sendiri terutama dalam hal yang membabitkan nikah kahwin.
“Mana mungkin Elly berkahwin senyap-senyap. Sebagai seorang artis, Elly juga mempunyai impian tersendiri mengenai majlis perkahwinan Elly dan Elly juga ingin berkongsi kegembiraan dengan peminat Elly,” jelas Elly panjang lebar.
Kata Elly, sekiranya sudah tiba jodoh dan masa untuknya mendirikan rumah tangga, perkara itu akan dimaklumkan kepada semua peminatnya. Elly juga melahirkan perasaan terkilannya apabila menjadi mangsa tuduhan ditaja golongan VIP untuk hidup mewah.
“Elly tidak pernah hidup atas wang ringgit orang lain. Tiada siapa yang beli diri Elly. Elly cari wang untuk menyara keluarga selama ini adalah hasil usaha Elly sendiri. Kalau betul Elly ditaja, buat apa Elly susah-susah berlakon, balik pagi buta. Baik Elly goyang kaki di rumah.
“Elly sedih kerana sifat Elly yang tidak banyak bercakap ini, orang senang-senang hendak melemparkan tuduhan buruk,’’ katanya dalam nada kesal.
Tak suka jaja kisah peribadi
SIKAP berahsia mengenai hal peribadi sedari awal dia menjejakkan kaki ke dunia seni menjadikan banyak yang sudah faham dengan falsafah dipegang.
“Biarlah orang mahu kata apa, yang penting bagi Elly kisah peribadi adalah milik Elly seorang. Elly cuma hanya dapat berkongsi dengan keluarga. Lagipun, malulah kalau keluar dalam majalah atau akhbar orang bercakap pasal kisah peribadi. Kerjaya entah ke mana. Elly tidak mahu dituduh sebegitu,” tegasnya.
Sama ada dirinya sudah berpunya atau belum, sukar untuk mendapatkan sebarang jawapan kerana prinsip yang dipegang.
“Setakat kawan-kawan, ramai. Tetapi Elly belum memutuskan untuk serius bercinta. Biarlah pada usia yang masih muda ini, Elly tumpukan sepenuh perhatian kepada kerja, bukan hal-hal peribadi. Masa untuk Elly tidak banyak sebab sekarang sudah masuk usia 25 tahun dan seboleh mungkin Elly cuba untuk tidak mengganggu diri sendiri dengan cerita sampingan yang akan memberi kesan kepada kerjaya seni Elly,”katanya.
Beri tumpuan pada lakonan
ALBUM Atas Nama Cinta adalah album terakhirnya bersama syarikat rakaman NAR Records dan awal tahun lalu, Elly secara rasmi bukan lagi di bawah naungan syarikat rakaman itu.
“Bukan merajuk atau apa namun Elly keluar dari syarikat rakaman itu disebabkan persaingan yang begitu kuat dan pasaran album yang agak tenat ketika ini. Minat Elly untuk menyanyi masih ada, namun atas sebab sedemikian, buat sementara biarlah Elly memberi sepenuh tumpuan kepada bidang lakonan yang mula sebati dalam diri ini,” kata Elly.
Dalam masa sama, Elly mendapat tawaran berlakon drama Bukan Yang Pertama sebanyak 26 episod yang mengambil masa penggambaran empat bulan. Elly memegang watak perempuan lumpuh.
“Elly memang tak sabar untuk menunggu drama ini ditayangkan kepada umum kerana bagi Elly watak ini cukup mencabar kemampuan Elly sebagai pelakon kerana ia membabitkan emosi dan persediaan mental. Bukan Elly nak kata Elly terlalu yakin dengan lakonan sendiri tetapi sebagai pelakon baru, watak Yasmin menjadi titik tolak kepada Elly untuk lebih serius mendalami bidang lakonan,” katanya yang sudah membintangi tiga filem.

ELLY MERAJUK LAGI

Apa sudah jadi dengan pelakon cantik yang sorang ini? Dulu dia pernah sembunyi, beberapa bulan lepas muncul semula. Kawan Joyah pernah cerita panjang dengan dia masa kami jadikan dia 'cover' Pancaindera tak lama dulu. Tup-tup sekarang dia diam semula. Lama juga tak kedengaran khabar dari Elly yang semakin bijak berlakon ni.
Sejak sudah kurang aktiviti menyanyi ni, khabarnya Elly sangat sibuk di lokasi lakonan. Dalam pada itu ada yang kata Elly kononnya merajuk dengan pihak media.Elly merajuk sebab ada rakan media yang seolah - olah tidak peduli lagi kepada dirinya.Kenapa pula dik sampai macam itu sekali tanggapannya?
Mungkin Elly fikir orang media sudah tak senang dengan dirinya lagi akhir-akhir ni. Sebab itu dia makin malu bertemu dengan rakan media. Alahai, apa pula sampai jadi macam tu? Tak adalah sampai macam itu sekali. Cuma mungkin tidak ada apa-apa benda yang hendak diceritakan pasal dia, jadi tak adalah wartawan dok mengekor. tak apalah dik. Joyah hendak jelaskan disini yang tak ada apa-apa hendak dirajukkan pun. janganlah Elly merasa rendah diri tak semena-mena.
Sumber Pancaindera 20 Ogos 2006 Dalam Ruagan nak tau tak? bersama Joyah Spot

TAK BURU CINTA

Elly Mazlein akur ketentuan takdir biarpun hati gundah lantaran cita-cita tak kesampaianBENAR sebagai manusia, kita hanya mampu merencana sedangkan ketentuan adalah di tangan Tuhan. Sejauh mana diri berusaha, andai tertulis bukan di situ rezeki, ia tidak akan menjadi kenyataan.
Mengalah, berundur diri mungkin jalan terbaik, tetapi jika pada hati masih tersemai cinta yang mendalam, mana mungkin tapak yang sudah disusun itu ditarik semula. Elly Mazlein (gambar) umpamanya, masih setia memburu cita-citanya.Barangkali untuk bertahan di bidang seni atas tiket penyanyi, ia perkara yang terlalu sukar. Pernah merakamkan lima album, termasuk dua album kompilasi, semua itu bukan jaminan untuk Elly bertahan.
Selepas mendapat pelepasan daripada syarikat rakaman, NAR Records, awal tahun ini, karier nyanyiannya agak terumbang-ambing. Tercungap Elly mencari ruang, dilambung badai dugaan, namun dia masih belum mahu tenggelam.Kecewa dengan dunia nyanyian? Pertanyaan yang sengaja diungkit menyedari dirinya kebelakangan ini agak terbiar sedangkan dulu Elly antara artis yang kerap menghiasi dada akhbar.“Elly anggap apa yang berlaku sebagai tiada rezeki,” katanya ringkas, melontar jauh kekecewaan biarpun jauh di sudut hati, cinta terhadap dunia nyanyian belum sekelumit terhakis.
Sambung artis berusia 25 tahun itu, dalam suasana pasaran album yang sukar dijangkakan, dia perlu melangkah keluar. Bangkit daripada kegagalan itu, Elly mencari langkah baru untuk memastikan dirinya tidak tenggelam ditelan masa.Pilihan yang ada adalah lakonan, justeru, Elly beralih minat. Syukur tawaran daripada pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam merubah warna kehidupan anak seni yang mula mencipta nama menerusi album Sutera Kasih itu.“Elly tidak boleh duduk berdiam diri dan menunggu peluang yang tidak mungkin datang. Sayang masa yang terbuang begitu saja. Jadi Elly berlakon untuk mencapai matlamat dalam bidang seni.“Ia juga sebagai memberitahu kepada semua Elly masih lagi aktif, masih setia dengan bidang seni, walaupun sudah beralih arah,” katanya.Dalam diam sudah tiga tahun Elly menyusun langkah sebagai pelakon. Hasilnya tidak terlalu mengecewakan. Tiga filem iaitu Tangkai Jering, Janji Diana dan Gerak Khas The Movie 3, serta drama bersiri, Sembilu Kasih, Gerak Khas dan Bukan Yang Pertama adalah pencapaian awal Elly.“Elly cuba mencari kepuasan sebagai pelakon,” katanya.
Mengakui Bukan Yang Pertama arahan Fauziah Ahmad Daud banyak mengajarnya erti lakonan yang sebenar, Elly berharap drama yang bakal ditayangkan di RTM itu sebagai bukti kesungguhannya sebagai pelakon.“Banyak lagi yang belum diteroka dalam diri ini. Justeru, Elly cuba mencari watak yang dapat menyerlahkan bakat sebenar,” katanya.Tak melatah dek gosipCUPING telinganya sudah lali diterpa gosip yang tidak berkesudahan. Gosip mengatakan dirinya sudah berumahtangga, hidup mewah hasil tajaan dan pelbagai lagi bagaikan mainan yang berlegar.Tetapi, semua itu tidak menjadi kudis kepada Elly. Dia tidak melatah, sebaliknya hanya berdiam diri kerana yakin perkara tidak berasas itu akan berlalu pergi dibawa angin jika dia bertenang.Elly berpegang kepada prinsip, jika berdiam diri perkara tidak benar itu akan pergi ditelan masa dan terbukti, ia tidak lagi hebat diperkatakan.
Satu janjinya: “Elly tidak akan sembunyi jika ditakdirkan berumahtangga nanti.”Menolak tanggapan dirinya gemar berahsia, sebaliknya kata Elly, dia selesa untuk tidak bercerita perkara yang belum pasti. Sebagai anak gadis, adalah tidak manis sekiranya soal hati dibicarakan secara terbuka di dada akhbar.“Bukankah Elly sendiri yang akan menanggung malu jika percintaan yang digembar-gemburkan tidak menjadi kenyataan? Jadi, lebih baik Elly berdiam diri. Apabila semuanya sudah pasti, baru hati Elly terbuka untuk bersuara.“Apa yang penting, keluarga mengetahui perkara yang sebenar kerana Elly tidak pernah berahsia dengan mereka. Itu lebih penting,” katanya.
Sharifah Aida Mazlin Syed HanafiNama Komersial: Elly MazleinTarikh Lahir: 17 Disember 1980Asal: Behrang, PerakKeluarga: Bongsu daripada tiga beradikKerjaya: Penyanyi, pelakon, pengacaraAlbum: Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), Atas Nama Cinta (2004) dan The Best Of Elly Mazlein (album kompilasi)Drama: Gerak Khas, Janji Kekasih, Sembilu Kasih, Gerhana di Mata Kabus Di Hati dan Raya Raya
Tak buru cinta Oleh Zul Husni Abdul Hamid