25.11.06

KAHWIN BELUM TENTU SENANG

“Kahwin belum tentu senang’’ – Elly Mazlein
Oleh: NIEZAM ABDULLAH
Kemunculan ramai penyanyi baru khususnya yang dicungkil daripada program realiti televisyen menyebabkan artis-artis senior terpaksa menerima kenyataan kedudukan mereka semakin terpinggir.Ia ditambahkan lagi apabila album yang dihasilkan kurang mendapat sambutan kerana persaingan tersebut. Bagi yang bernasib baik dan mempunyai bakat tambahan, mereka boleh terjun ke dunia baru iaitu melibatkan diri sebagai pelakon.Bercakap mengenai nasib, penyanyi Elly Mazlein mungkin diantara artis yang bertuah kerana selepas ‘dibebaskan’ oleh syarikat rakaman NAR Records, dia memperoleh peluang berlakon bersama Skop Production.
Pada masa ini penyanyi itu sibuk dengan penggambaran drama Sembilu Kasih serta beberapa program Hari Raya lain.Kata Elly, memang perit mengenangkan nasibnya sebagai penyanyi yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai saingan.Malah pada masa ini penyanyi tidak boleh mengharapkan seratus peratus rezeki dalam bidang itu sebaliknya perlu mencari pekerjaan lain bagi menampung keperluan hidup.Elly mengakui dia amat bersyukur kerana peluang diberikan oleh Skop Production untuknya terlibat dalam drama terbitan syarikat produksi itu bagi membolehkannya menambahkan rezeki.
“Kita tak boleh mengharapkan rezeki menyanyi. Artis sekarang terlalu ramai. Muncul yang baru, orang akan lupa yang lama apatah lagi kalau tiada album.“Nasib Elly mungkin baik kerana ada bakat berlakon selepas Datuk Yusof Haslam memberi peluang terlibat dalam drama terbitannya,’’ katanya.Jelas Elly, setakat ini dia tidak menghadapi masalah kewangan kerana kontraknya sebagai duta produk kecantikan Safi Balqis masih lagi berjalan dan akan tamat hujung tahun ini.Bagaimanapun dia sentiasa mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan supaya kehidupannya tidak terus `gelap’ akibat persaingan sengit dalam dunia hiburan waktu ini.Selain mengharapkan pendapatan dengan mengadakan persembahan pentas dan dinner show, Elly perlu bekerja keras untuk memperkukuhkan dirinya sebagai pelakon.Ditanya kenapa dia tidak mengambil jalan mendirikan rumah tangga kerana setidak-tidaknya ada juga orang yang dapat menyara kehidupannya, Elly bagaimanapun menganggap ia bukanlah jalan yang tepat. Kahwin juga belum tentu menjamin seseorang itu boleh menjadi senang.
Sebaliknya penyanyi bersuara manja itu berkata walaupun telah mendirikan rumah tangga suatu hari nanti, dia perlu mencari wangnya sendiri kerana tidak mahu menjadi isteri yang terlalu mengharapkan suami.“Berkahwin bukannya jalan untuk kita mengelak daripada tidak bekerja sebaliknya pada zaman sekarang seseorang isteri itu perlu bijak mencari wangnya sendiri.“Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, isteri perlu membantu suami dengan berkerja. Tak boleh duduk goyang kaki sahaja di rumah,’’ ujarnya.Elly juga menolak dia sudah mempunyai buah hati sebaliknya mengakui masih lagi solo. Dia juga tidak mahu bercerita mengenai perjalanan cintanya kerana mahu melupakan kisah-kisah lama.“Yang lepas tu biarkanlah lepas. Elly tak mahu mengingatinya lagi,’’ jelasnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home